Wednesday, 29 June 2011

NCR: ‘Model Pengurusan’ diperkenal



Ia diaplikasi buat pertama kali ke atas Tanah NCR dengan kawasan Pasai Siong dibangun sebagai perintis

KUCHING: Kerajaan memperkenalkan model baru dikenali ‘Model Pengurusan’ sebagai model alternatif untuk pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.

Menteri Kemajuan Tanah, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, model itu telah lama digunakan oleh FELCRA Berhad di kawasan tanah lain di bawah skim Ladang Rakyat tetapi buat julung kalinya diaplikasikan ke atas tanah NCR.

Menurutnya, di bawah ‘Model Pengurusan’ FELCRA Berhad akan memaju dan menguruskan projek untuk tempoh 25 tahun dan selepas tempoh itu tamat FELCRA akan melakukan penanaman semula di kawasan projek sama dengan syarat mendapat persetujuan pemilik tanah serta dengan dana sedia ada.

“Di bawah program ini, pemilik tanah akan memegang saham sebanyak 90 peratus manakala baki 10 peratus lagi dipegang oleh LCDA (Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah).

“FELCRA akan membiayai semua dana diperlukan dan hanya mengenakan bayaran ke atas kerja-kerja pengurusan dan pemasaran,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan untuk Kementerian Kemajuan Tanah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Masing memberitahu Dewan projek pembangunan tanah NCR Pasai Siong akan dibangunkan menggunakan model baru itu sebagai projek perintis di Sarawak.

“Jika projek ini dilaksanakan dengan jayanya, kita akan memperluaskan model ini untuk membangunkan kawasan tanah NCR yang lain,” tambahnya.

Sementara itu, Masing berkata, menerusi kementeriannya telah memperkenalkan Model Mini Estet bagi membangunkan tiga kawasan dengan kelapa sawit.

Salah satu daripada tiga mini estet kelapa sawit itu, katanya, telah ditanam sepenuhnya dengan tanaman tersebut awal tahun ini iaitu di Lubok Punggor, Samarahan.

“Dua lagi estet mini ini terletak di Kampung Teh, Mukah dan Pedanum, Pakan.

Kedua-dua estet mini masih di peringkat penubuhan dan dijangka ditanam sepenuhnya (dengan kelapa sawit) pada hujung tahun ini,” jelasnya.

Menyentuh mengenai estet mini getah komuniti, Masing berkata, kementeriannya telah mencadangkan penanaman semula kira-kira 500 hektar di Kampung Sekuduk, Jalan Kuching Serian dan Kampung Pesang Padawan dengan klon yang lebih baik.

Cadangan itu katanya, telah pun dihantar kepada kerajaan pusat untuk mendapatkan dana.

No comments:

Post a Comment